Tuesday, June 2, 2009

APABILA FITNAH MENJADI PERKARA WAJIB

Pilihanraya ke 12 yang lalu, segelintir orang Melayu berubah sikap sehingga sanggup menolak yang logik, dan menerima bulat bulat perkara yang tidak diterima akal, amat menyedihkan.

Dunia politik tanahair ternyata berubah seratus peratus. Kalau dulu di kalangan ahli politik bercakap tentang perjuangan dan pembangunan dan satu bahasa walaupun berbeza cara, tetapi kini sudah berubah.

Semuanya bermula akibat keghairahan pihak pembangkang yang rakus berkuasa bukan saja di lima negeri, sebaliknya mahu menawan bangunan Parlimen. Dalam ertikata lain, pembangkang nak berkuasa dan memerintah Malaysia walaupun mereka sedar mereka kurang mejoriti.

Hari ini, terlalu banyak fitnah dilemparkan dikalangan pemimpin pembangkang terhadap kerajaan Barisan Nasional. (Malah kalau mereka bacapun artikel ini, pastinya mereka akan menuduh, inilah artikel yang menjadi tali barut dan juga anjing Barisan Nasional).

Pelbagai tuduhan dibuat terhadap pemimpin pemimpin BN dan peliknya ada di kalangan rakyat seperti dibomoh dan percaya apa saja tuduhan yang dilemparkan terhadap pemimpin pemimpin UMNO dan BN tanpa usul periksa.

Walaupun tuduhan dan fitnah berkenaan dijawap pihak UMNO dan BN, tetapi kalangan pengikut pembangkang tetap tidak dapat menerima penjelasan tersebut. Mereka sebenarnya tahu tuduhan tuduhan yang dilemparkan itu berunsur fitnah tetapi disebabkan mereka penyokong tegar, maka mereka sanggup terbabit dalam kancah fitnah.

Sebagai contoh, satu blog yang mendapat perhatian penyokong penyokong pembangkang kerana blog tersebut kononnya membongkar banyak kes dan skandal VVIP kerajaan. Blog berkenaan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dikalangan pembangkang. Walaupun dijawab segala tuduhan dan fitnah berkenaan, tetapi rakyat yang pro pembangkang tidak dapat menerimanya.

Paling menyedihkan, pemilik blog berkenaan bukan sahaja didapati banyak melanggar etika kewartawanan tetapi juga gagal mematuhi perintah mahkamah terhadap siasatan yang dijalankan terhadapnya. Kini pemilik blog berkenaan menghilangkan diri entah ke mana. Peliknya, pembangkang tetap percaya bahawa penulis blog berkenaan tidak bersalah dan menuduh pula inilah perancanga kerajaan BN dan UMNO bertujuan melemahkan mereka.

Banyak lagi contoh pihak pembangkang menuduh UMNO dan BN membuat kerja gelap semata mata mahu melemahkan rangkaian Pakatan Rakyat. Kes perletakan Fairuz sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Penanti. Pemimpin utama mereka menuduh UMNO terbabit sehingga terpaksa Fairuz meletakkan jawatan. Satu lagi pilihanraya kecil terpaksa diadakan. Rakyat di Penanti menjadi taruhan.

Bekas Ketua Wanita Keadilan Pulau Pinang yang juga Calun Bebas Puan Aminah, mendedahkan dua pemimpin PKR menemuinya dan membuat tawaran supaya menarik diri dari menjadi calun di DUN Penanti, juga menjadi pertikaian. Disebabkan tawaran mereka telah didedahkan Aminah, mereka membuat kenyataan bahawa UMNO dan BN yang berkomplot dengan calun bebas berkenaan.

Sebelum itu, kes gambar bogel ADUN Bukit Lanjan Elizebeth di internet, maka PKR yang diketuai oleh penasihat parti, mula menuduh orang UMNO dan BN terbabit merancang aib tersebut.

Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Hj Abdul Razak, yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, dituduh habis habisan terbabit dalam kes pembunuhan model Monggolia. Walaupun DS Najib bersumpah di atas sebuah masjid di Permatang Pauh, tetapi tuduhan tetap dibuat berterusan.

Inilah hebatnya pembangkang terutama dari Parti Keadilan Rakyat yang sanggup berbuat apa saja asalkan mereka dapat memerintah negara. Rakyat pula terima bulat bulat apa sahaja yang dicakap, sebar atau ditulis dalam blog tanpa usul periksa.

Taksubnya penyokong penyokong pembangkang terhadap pemimpin mereka terlalu tebal. Andainya dalam masa terdekat ni, berlakulah pergaduhan antara Datuk Nik Aziz dengan Dato Seri Hj Abdul Hadi Awang dan beliau dapat melempang Nik Aziz, maka yang dituduh bukan kesalahan Hadi Awang. Mereka akan menuduh orang UMNO atau BN lah yang harus dipertanggungjawapkan kerana merekalah yang merancang mengupah Hadi Awang melempang demikian.

Rakyat harus sedar dan segera insaf. Kalau nak negara maju, aman damai, boleh cari makan tanpa ada kacau ganggu, segeralah ubah fikiran mereka daripada menerima berita tanpa usul periksa kepada peka dengan sebarang tuduhan. Setiap berita yang diterima atau dibaca harus ditapis dan dinilai dengan sebaik mungkin.

Dalam lojiknya, cuba kita lihat pemimpin BN dan UMNO. Kita tanya pada diri kita adakah mereka ini sering melemparkan tuduhan dan fitnah terhadap pihak pembangkang. Pemimpin BN dan UMNO sebenarnya tidak ada masa untuk berbuat demikian. Dan, jika ada masapun mereka tidak akan berbuat demikian kerana mereka tahu hukum hakam yang terkandung dalam agama masing masing.

Mereka hanya memikirkan apakah yang hendak mereka rancang dan buat untuk agamanya, bangsanya dan negaranya. Mereka mencipta pelbagai peluang dan ruang bagi memudahkan rakyat yang ada di negara ini menjalani kehidupan masing masing.

Mereka sentisa memikirkan apakah yang hendak mereka tinggalkan untuk kepentingan anak bangsa di masa akan datang. Mereka tidak mahu negara tercinta ini tergadai kerana asyik berperang sesama sendiri dan pihak ketiga mengambil kesempatan.

Akhir sekali.... bacalah akhbar seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian dan bandingkan dengan akhbar Harakah serta Suara Keadilan. Akhbar manakah di kalangan empat akhbar ini yang banyak berita tentang pembangunan insan dan negara serta mencipta kemajuan. Akhbar mana pula di kalangan empat ini yanga hanya memberi fokus kepada membuat tuduhan rambang, fitnah, rampasan kuasa dan macam macam lagi.

Sekadar memberi pilihan terhadap empat akhbar ini. Perbandingan harus dicari dan penilaian harus diambil kerana negara harus dibentuk dengan baik. Keasyikan dan kerakusan berpolitik untuk mendapat kuasa akan mengakibatkan negara Malaysia tergadai. Segeralah buat penilaian dan segeralah berubah kerana negara memerlukan kita untuk terus mencipta kejayaan. Aminnn.......

No comments:

Post a Comment