Monday, June 8, 2009

MALANG....RAMAI MELAYU TAK JADI PENGUNDI

Saya masih ingat, zaman saya kanak kanak lagu, "Mari Mengundi" cukup popular di kalangan kami. Antara senikata yang masih saya ingat, " Marilah mari, pergi mengundi, jangan lupa kewajipan pada negara..........". Musim kempen inilah yang paling seronok kerana saya bersama kawan kawan yang lain, menyanyi secara beramai ramai sambil berjalan pulang dari sekolah ke rumah. Walaupun dah lebih 30 tahun, lagu tersebut masih segar di ingatan.

Begitulah pekanya masyarakat Melayu kampung terhadap tanggungjawap mereka kepada negara. Pada masa itu, kalau ada di kalangan penduduk kampung yang masih tidak daftar sebagai pengundi, dia dianggap orang asing di kalangan penduduk.

Bagaimanapun, bilangan yang tidak daftar mengundi terlalu kecil jumlahnya. Pada masa itu, walaupun penduduk kampung kebanyakannya tidak berpendidikan tinggi, tetapi terlalu sedar tentang hak dan tanggungjawap sebagai pengundi.

Itu cerita 35 tahun yang lalu, tetapi berbeza hari ini. Semuanya banyak berubah. Orang Melayu yang dulunya beranggapan daftar atau pergi mengundi satu tanggungjawap yang wajib dilaksanakan, kini bertukar jadinya.

Terutama Melayu bandar, semangat untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi semakin pupus. Walaupun banyak cara dilakukan termasuk mengadakan kempen kempen tertentu sama ada di pasaraya ataupun di balai balai masyarakat, tetapi kesannya amat mendukacitakan.

Kalau dari jam sembilan hingga jam lima petang, pegawai Penolong Pendaftar Pengundi membuka kaunter pendaftaran, boleh dibilang dengan jari anak anak muda Melayu yang mendaftarkan diri. Mereka tak hiraukan langsung kaunter pendaftaran, sedangkan kalau mereka berbuat demikian, tak sampai sepuluh minit dan pun selesai.

Berbeza dengan kaunter pendaftaran yang dibuka di kawasan majoriti penduduknya bukan Melayu. Mereka berpusu pusu mendaftarkan diri, walaupun terpaksa berbaris panjang semata mata nak daftar sebagai pengundi.

Inilah dua senario berbeza yang berlaku selepas 35 tahun yang lalu. Anak anak Melayu lebih senang berpeleseran di pusat membeli belah daripada membuat pendaftaran, walaupun kadang kala kaunter pendaftaran ada di depan mereka.

Anak anak Melayu ini terlupa bahawa dengan mendaftar diri sebagai pengundi, mereka bukan sahaja layak menentukan kerajaan mana yang bakal terbentuk, tetapi juga mereka juga membantu bagi membolehkan calun calun daripada parti parti Melayu bertanding di kawasan berkenaan.

Bila mereka tidak mendaftar, sebaliknya bangsa lain yang lebih ramai mendaftar, maka dari segi agihan kerusi pilihanraya secara automatik tidak akan mencalunkan orang Melayu bertanding di kawasan berkenaan. Secara teori, bangsa mana yang lebih ramai layak mengundi di sesuatu kawasan, maka calun yang layak bertanding akan dipilih dari bangsa yang majoriti.

Inilah antara punca mengapa semakin banyak kerusi di kawasan bandar dan pinggir bandar, calun dari bangsa lain menguasainya. Akibatnya, orang Melayu bukan sahaja semakin terpinggir tetapi mereka juga tidak dapat turut serta dalam pentadbiran dan membangunkan kawasan berkenaan.

Orang Melayu harus bangkit semula dari sikap sambil lewa ini. Kesedaran harus ada bermula pada sekarang, kerana kalau mahu melihat ada orang Melayu yang menjadi wakil rakyat di kawasan bandar, maka anak anak muda Melayu harus segera mendaftarkan sebagai pengundi.

Kita perlu ingat, bukan kita menolak bangsa lain menjadi wakil kita sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen. Tetapi, sejak kebelakangan ini terlalu sikit wakil Melayu dapat menjadi wakil rakyat di kawasan bandar mahupun pinggir bandar.

Jika ini berterusan berlaku, apa akan terjadi dengan nasib Melayu yang tinggal di kawasan kawasan ini. Kebelakangan ini, sering diperkatakan tentang masalah Melayu bandar yang semakin ramai dan terkenal dengan kemiskinannya. Pastinya nasib membela Melayu ini akan kurang terbela, kerana mereka tidak mempunyai wakil Melayu. Nasib mereka akan bertambah malang jika kawasan mereka dimenangi pembangkang.

Banyak lagi sebab yang tidak dapat dinyatakan di sini tentang betapa perlunya anak anak muda Melayu mendaftar sebagai pengundi. Cukuplah sekadar saya menyatakan bahawa Melayu bakal hilang kuasa di kawasan kawasan bandar, jika mereka terus abai dengan tanggungjawap mereka.
Pada saya, Melayu harus sedar sebelum kita sedar yang kita sudah tidak ada kuasa.... fahamilah.

No comments:

Post a Comment